About Kedah DAP

My photo
Established since 1967

Wednesday, October 20, 2010

DAPSY serah memorandum



ALOR SETAR – Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) semalam, menyerahkan satu memorandum mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil tindakan segera terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Selambau, Ungku Aznan Ungku Ismail, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar bukan Melayu.

Memorandum berkenaan diserahkan Setiausaha Publisiti Kebangsaan Dapsy Malaysia, Ng Wei Aik kepada KPM melalui Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah, yang diwakili Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPN Kedah, Mustafa Abd Hamid. Wei Aik ketika ditemui berkata, penyerahan memorandum itu dibuat dengan harapan agar tindakan tatatertib dapat diambil terhadap pengetua terbabit kerana beliau difahamkan bahawa pengetua berkenaan masih kekal di sekolah yang sama walaupun ada ura-ura mengatakan akan ditukarkan.

“Ini adalah Memorandum Rakyat yang dikemukakan atas nama semua rakyat jelata yang prihatin terhadap isu ini. “Kami berharap agar tindakan tatatertib dapat diambil terhadap pengetua itu,” katanya. Beliau menyelar tindakan pengetua berkenaan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu perhimpunan awam yang dihadiri pelajar berbilang kaum.

“Sebagai pengetua, dia harus mengetahui perasaan setiap kaum yang juga rakyat yang dilahirkan di negara ini kerana Malaysia adalah tanah air mereka,” katanya. Pengetua berkenaan dilaporkan ‘dibekukan sementara’ di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Muda/Yan, Sungai Petani selama seminggu, sebelum kembali bertugas di sekolahnya pertengahan September lalu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Dapsy Alor Setar, Teoh Book Kok ketika ditemui berkata, beliau berharap tidak ada pihak mahupun individu, tanpa mengira bidang sama ada pelajaran atau sebagainya, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman. “Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan kita mesti berganding bahu dan bersatu padu untuk mencapai wawasan menjadikan negara ini sebuah negara maju, jadi jangan keluarkan kenyataan yang boleh menyakiti kaum-kaum lain,” katanya.

Seramai lebih 10 wakil Dapsy hadir sama semasa penyerahan memorandum berkenaan. Turut hadir, wakil Dapsy Sungai Petani, Goh Choon Chuan, wakil Dapsy Pulau Pinang, Soon Lip Chee, wakil veteran DAP, Hor Kek Koek, serta Setiausaha Dapsy Alor Setar, Yong Peng Sin. Dalam perkembangan lain, Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, JPN Kedah mengesahkan penerimaan memorandum yang dihantar Dapsy, semalam.

“Segala maklumat yang kami terima akan dihantar kepada KPM dan kita akan menyerahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya,” katanya.